KTM 890 SMT 2023 Dirasmikan Di Eropah – 105HP, 100Nm

KTM dengan rasminya memperkenalkan KTM 890 SMT 2023 untuk pasaran global beberapa bulan selepas model baharu itu kelihatan menjalani ujian di Eropah. 

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, KTM 890 SMT dikuasakan enjin parallel-twin 889cc LC8c yang sama terdapat pada KTM 890 Adventure namun menawarkan kuasa dan tork yang lebih tinggi dengan 105hp dan 100Nm. 

Angka kuasa yang tinggi itu meletakkan 890 SMT sebagai jentera dengan kuasa pecutan tinggi meskipun pada rpm rendah lantas menjadikan motosikal tersebut lebih versatil di jalan raya. 

Selain itu, KTM turut mereka semula bahagian tangki yang kini lebih langsing yang membuatkan penunggang duduk kedalam agar kedudukan menunggang lebih agresif. 

Aerodinamik KTM 890 SMT ini juga dipertingkat dengan penghadang angin yang lebih rendah dan ‘splash guard’ yang terletak pada fork depan. Suspensi WP APEX yang dipadankan bersama rim 17-inci juga menyumbang kepada tunggangan yang lebih responsif. 

Menurut KTM, 890 SMT juga didatangkan dengan beberapa mod menunggang termasuk tetapan khas untuk litar lumba yang membolehkan penunggang menyahaktifkan 10 peringkat sistem traction control mengikut kesesuaian. 

Selain itu, KTM 890 SMT ini juga dilengkapi dengan Cornering Motorcycle Traction Control (MTC) yang mengawal tahap kecondongan motosikal di jalan raya/litar. Dalam pada itu, model baharu ini juga dilengkapi panel meter TFT 5-inci yang anti-calar. 

KTM juga menawarkan beberapa ciri tambahan antaranya Motor Slip Regulation (MSR) yang meningkatkan kawalan motosikal ketika menunggang atas permukaan kurang cengkaman di samping tukaran gear rendah yang lebih pantas. KTM turut menawarkan pakej Quickshifter+ dan Cruise Control sebagai opsyen tambahan. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]