Proton Sahkan Tak Semua Pengedar Dibenarkan Jual X90

Proton terus memperkembangkan barisan model X untuk pasaran tempatan dengan memperkenalkan Proton X90. 

Proton X90 merupakan model ketiga selepas X70 dan X50 yang akan dipasarkan di Malaysia dengan imej premium. 

Bagi memastikan rangkaian pengedar juga bergerak seiring dengan imej Proton sebagai pengeluar kereta premium, rata-rata pusat pengedar berstatus 1S telah pun dinaik taraf kepada 3S dan 4S. 

Namun, bagi mereka yang enggan, Proton tidak mempunyai pilihan kecuali melepaskan pusat pengedar tersebut. 

Dalam perkembangan terbaru, Proton sahkan hanya beberapa pengedar terpilih sahaja yang dibenarkan menjual Proton X90. Menurut CEO Proton, Dr Li Chunrong, rangkaian pengedar sedia ada perlu memenuhi tiga syarat wajib bagi melayakkan mereka menjual Proton X90.

“Syarat pertama adalah memastikan servis selepas jualan yang lebih baik. Jika tidak mereka tidak boleh menjual X90. Kami akan mengenal pasti sama ada mereka boleh menjual atau tidak berdasarkan aspek tersebut. 

“Keduanya, ruang yang diperlukan. Sebagai contoh, pusat pameran perlu memuatkan lapan model kerana dihujung tahun nanti, kita akan ada lapan model kesemunya. Jadi kami tidak akan menerima pengedar yang tidak boleh mempamerkan kesemua lapan model,” jelasnya. 

Syarat ketiga pula bergantung kepada prestasi pengedar. Meskipun syarat ketiga itu tidak diperincikan namun kami menjangka syarat tersebut merujuk pada jualan dan alat ganti.

Sementara itu, Pengarah Selepas Jualan Proton, Wan Hazran turut mengesahkan langkah proaktif tersebut. 

“Kami telah pun mengenal pasti pengedar yang akan dibenarkan menjual X90. Kami telah menetapkan kriteria keta kerana kami mahu memastikan hanya pusat pameran yang terbaik sahaja boleh menjual SUV premium ini. 

“Kami masih memuktamadkan angka sebenar tetapi seperti yang disebut Dr Li, hanya pengedar terbaik sahaja akan dibenarkan menjual X90,” ujarnya. 

Tidak cukup dengan itu, Wan Hazran juga mendedahkan Proton kini meletak sasaran untuk mengurangkan tempoh menunggu di pusat servis kurang dari dua jam. 

Proton X90 merupakan model paling premium pernah ditawarkan pengeluar kereta nasional maka penting untuk rangkaian pengedar turut sama mempertingkatkan perkhidmatan sedia ada sebelum dibenarkan menjual model terbaru itu. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]