Kesan Pemandu Mabuk Dan Kesalahan Lain Jadi Sukar Bila Lokasi SJR Dikongsi Di Waze

Baru-baru ini Polis Kuala Lumpur telah menasihati orang ramai untuk tidak berkongsi maklumat sekatan jalan raya di aplikasi Waze. 

Nasihat itu mendapat pelbagai reaksi terutamanya daripada pengguna jalan raya. 

Memetik laporan Berita Harian,  Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim menjelaskan tindakan berkongsi maklumat SJR di Waze menyukarkan tugas polis dalam mengesan pemandu yang ingkar. 

“Orang ramai berpendapat dengan memaparkan keberadaan pihak polis, pemandu akan lebih cenderung untuk memandu dalam keadaan berhati-hati dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Walaupun ia dilihat memberi manfaat kepada pemandu, namun dalam masa yang sama, ia menghalang penguatkuasaan terhadap pemandu yang ingkar terutamanya mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan kesalahan trafik lain,” jelasnya. 

Tambah Azmi lagi, pengguna jalan raya perlu sedar bahaya yang boleh disebabkan pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk, lawan arus dan sebagainya.

“Bagi individu yang tidak pernah terkesan dengan musibah diakibatkan oleh kecuaian dan kelalaian pesalah trafik ini, mereka tidak akan dapat merasakan keperitan dan kesengsaraan yang ditanggung oleh keluarga mangsa.

“Oleh itu, besarlah harapan saya supaya orang ramai terutamanya pengguna jalan raya memberi kerjasama kepada pihak polis daripada cuba membantu mereka yang melakukan kesalahan jalan raya ini,” tambahnya. – Berita Harian. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]