TERKINI: CFMOTO 450SR Lancar Di Malaysia 22 Oktober Ini

Pada penghujung Mac lalu, jenama pengeluar motosikal China, CFMoto telah pun memperkenalkan jentera terbaru, 450SR untuk pasaran dunia.

Motosikal tersebut, yang dibangunkan daripada model prototaip SR-C21 merupakan jentera segmen ‘sportsbike’ serba baharu yang diperkenalkan CFMoto.

Dalam perkembangan terbaru, pihak CFMoto Malaysia telah memaklumkan bahawa CFMOTO 450SR akan dilancarkan di Malaysia pada 22 Oktober ini sempena dengan MotoGP Malaysia.

GP Malaysia sememangnya platform paling sesuai bagi pelancaran model terbabit apatah lagi CFMoto mempunyai pasukan di kelas Moto3.

Ini secara tidak langsung menyaksikan 450SR akan sertai 250SR yang telah dilancarkan sebelum ini.

CFMoto 450SR merupakan jentera sportsbike bernadikan enjin parallel-twin 449cc dengan ‘270-degree crank’ yang berkeupayaan menghasilkan 50hp dan 39Nm.

Angka kuasa itu sekaligus meletakkan CFMoto 450SR antara pesaing utama Kawasaki Ninja 400 (49hp) dan KTM RC390 (44hp).

Selain daripada enjin berkuasa, CFMoto 450SR juga datang dengan rekaan yang sporty dan agresif termasuk menawarkan ciri ‘winglet’ yang terdapat pada model prototaip SR-C21 sebelum ini.

CFMOTO juga mendakwa 450SR ini mampu merekodkan kelajuan maksima 190km/j.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]