RNF Racing Berdepan Krisis, WithU Tarik Balik Tajaan?

Advertisements

Dalam perkembangan mengejut, media Itali mendakwa penaja utama RNF Racing, WithU akan menarik semula penajaan pasukan kendalian Datuk Razlan Razali itu bagi musim 2023.

Laporan tersebut diterbitkan akhbar Verona, L’Arena dan menampilkan petikan daripada Pengarah Urusan WithU, Matteo Ballarin.

Berdasarkan kenyataan dalam laporan itu, Ballarin menjelaskan bahawa syarikatnya Europe Energy Spa dan WithU sedang berdepan krisis.

*Matteo Ballarin (paling kiri) bersama Darryn Binder dan Andrea Dovizioso sambil ditemani Razlan Razali.

“Kami sedang berdepan krisis berganda. Europe Energy Spa, syarikat sekian lama saya telah memohon penyusunan semula.

“WithU adalah entiti berasingan tetapi berkait rapat antara satu sama lain. Buat masa ini pentingnya untuk kami buat rakyat Itali mengenali kami kalau tidak orang ramai tak tahu kewujudan kami. 

“Orang Itali tidak tahu terdapat alternatif berlainan selain Enel atau Agsm. Kami perlu buat mereka sedar,” katanya. 

Difahamkan, selepas percubaan di MotoGP, WithU mahu mengalih fokus ke sukan bola tampar. 

Sementara itu, sekiranya laporan itu disahkan, maka WithU akan menjadi penaja utama kedua selepas Petronas yang menarik balik tajaan terhadap pasukan kendalian Razlan Razali.

Apa yang pasti, berita ini pastinya meninggalkan impak besar terhadap perkembangan RNF Racing yang akan memulakan saingan musim depan bersama Aprilia.

RNF Aprilia sebelum ini turut mengumumkan Miguel Oliveira dan Raul Fernandez sebagai pelumba pasukan itu musim depan. 

Advertisements