Projek 20 Tahun Laluan Malaysia-Indonesia Akan Dibina Di Masjid Tanah

Thailand merupakan satu-satunya destinasi yang boleh diakses rakyat Malaysia melalui jalan darat menerusi beberapa ‘checkpoint’ di bahagian Utara tanah air.

Namun, dalam tempoh 20 tahun dari sekarang, rakyat negara ini akan berpeluang melancong ke Indonesia menerusi jalan darat yang akan dibina di Melaka.

Perkara itu disampaikan Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang memaklumkan bahawa negeri itu merancang membina laluan bentuk terowong atau jambatan sepanjang 120km melalui Masjid Tanah, Melaka ke Dumai, Sumatera.

“Cadangan pembinaan laluan ini telah dikemukakan pihak swasta dan menerusi kajian yang dilakukan, jarak antara pesisir pantai di Dumai, Indonesia ke Telok Gong, Masjid Tanah di sini hanya sejauh 47 km,” jelas Ab Rauf menurut laporan Harian Metro.

Tambahnya, kerajaan negeri juga telah membawa agensi berwajib bagi melihat kawasan berkenaan.

“Secara dasarnya kedua-dua negara telah bersetuju untuk perkara ini diperincikan dan langkah awal di peringkat kerajaan negeri Melaka, kita telah membawa semua agensi kerajaan melihat kawasan yang akan dibina jajaran baharu ini semalam,” ujarnya.

Selain itu, laluan baharu tersebut juga akan menempatkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS). – Harian Metro

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply