Kerajaan Perlu Tangani Masalah’Bottleneck’ Atasi Kesesakan – Cip Lando

Advertisements

Aktivis jalan raya Azlan Sani Zawawi, atau lebih dikenali sebagai Lando Zawawi, meminta kerajaan menangani masalah “bottleneck” bagi meredakan sebarang kesesakan ketika pembinaan lebuh raya baharu sebagai penghubung antara koridor lalu lintas timur dan utara Lembah Klang selesai.

Dia turut mencadangkan supaya kerajaan melebarkan jalan raya, khususnya di persimpangan percantuman antara lebuh raya sekitar Lembah Klang bagi mengurangkan risiko kesesakan jalan raya sementara menunggu lebuh raya baharu berkenaan siap dibina.

Katanya, kebanyakan kesesakan berlaku khususnya di waktu puncak melibatkan persimpangan pencantuman antara lebuh raya termasuk laluan keluar-masuk jalan utama.

“Secara amnya kami menyokong semua pelan kemajuan infra negara demi kemudahan pengguna di masa hadapan, namun seringkali pihak kami mendapati tahap pemantauan dan penyelenggaraan amat lemah sehingga menimbulkan banyak masalah terhadap pengguna termasuk kemalangan dan kerugian harta benda.

“Dari satu aspek lain wujud juga masalah trafik teruk di lokasi percantuman lebuh raya ini di laluan lama yang masih belum dinaik taraf,” katanya dalam satu temuduga bersama Free Malaysia Today.

Beliau memberikan sebagai contoh, laluan keluar dari UiTM Puncak Perdana yang bertembung menjadi satu laluan seterusnya mewujudkan keadaan “bottleneck” teruk.

Berikutan itu, katanya, sewajarnya fokus pelebaran jalan sedia ada perlu diselaraskan dengan pembangunan lebuh raya yang dirancang.

Selain itu Azlan yang juga pengasas Persatuan Mangsa Kemalangan Jalan Raya berkata, masalah pemilikan persempadanan yang kompleks di negara ini juga menyukarkan pembangunan infrastruktur jalan raya yang sempurna sehingga mengakibatkan kesesakan khususnya di persimpangan susur keluar lebuh raya.

“Perkara yang sama dilihat berlaku di susur keluar Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) serta sekitar kawasan Ampang,” katanya.

Katanya, walaupun pihaknya secara asasnya menyokong usaha kerajaan membina lebuh raya baharu, penambahbaikan sistem pengangkutan awam antara bandar raya serta menggalakkan orang ramai menggunakannya sebenarnya langkah paling berkesan dalam usaha menangani kesesakan jalan raya di Lembah Klang.

“Kami percaya penambahbaikan sistem pengangkutan awam antara bandar raya lebih baik daripada pembangunan lebuh raya yang tidak teratur,” katanya.

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.