Diskaun 50% Untuk Saman Trafik Mendapat Sambutan Menggalakkan

Advertisements

Kaunter bayaran saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menawarkan diskaun 50 peratus sentiasa mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Hari ini, pada program Road March 2022, sempena sambutan Hari Polis ke-215 di Dataran Merdeka di ibu negara, orang ramai mula beratur seawal jam 7 pagi, walaupun kaunter hanya dibuka pada jam 9 pagi.

Abu Kassim Karim berkata, dia memilih untuk membayar saman di Dataran Merdeka walaupun terpaksa beratur panjang, kerana dia boleh membuat penjimatan dengan berbuat demikian.

“Saya beratur seawal jam 7 pagi, tetapi tidak mengapa kerana saya boleh menjimatkan banyak terutama dalam keadaan ekonomi semasa. Memang berbaloi,” katanya ke Bernama.

Seorang pelajar, Asyraf Mustafa, 18, berkata, diskaun yang diberikan sememangnya dapat meringankan beban semua pihak dan dia amat bersyukur dengan pengurangan itu.

“Pemberian diskaun ini sebenarnya memberi ruang kepada pengguna jalan raya untuk menjelaskan saman masing-masing yang mungkin sudah lama tertunggak,” katanya.

Terdahulu, PDRM dalam satu catatan di akaun Facebook dan Twitter rasminya, mengumumkan diskaun 50 peratus bagi kesalahan trafik terpilih akan diberikan kepada orang ramai yang membuat pembayaran pada sambutan itu.

Bagaimanapun, kesalahan melibatkan kemalangan, saman berstatus waran tangkap, memotong garisan berkembar, melanggar lampu merah, memotong secara berbahaya dan menggunakan lorong kecemasan tidak termasuk dalam senarai diskaun.

Selain itu, ia juga tidak melibatkan kesalahan dalam kategori tidak boleh kompaun (NC), berstatus percubaan, serta kesalahan berkaitan kenderaan berat dan ubah suai ekzos kenderaan.

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.