Wajibkan Pemandu Kenderaan Berat Ikuti Kursus Pemanduan Berhemah

Kemalangan maut yang melibatkan kenderaan berat seperti treler dan lori bertembung dengan kenderaan ringan kelihatan seperti makin kerap berlaku baru-baru ini.

Mangsa maut dalam keadaan mengerikan dan ramai jumlahnya membuatkan kes kemalangan ini sangat menyayat hati.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati pemandu kenderaan terbabit kemalangan maut ini kadangkala terbabit dengan pengambilan dadah, terlelap ketika memandu dan kenderaan mengalami kerosakan.

Namun, berdasarkan kajian dilakukan penyelidik dan penyiasat forensik kemalangan, kebanyakan kes kemalangan ngeri membabitkan kenderaan berat mempunyai kaitan langsung dengan sikap pemandu.

Pemandu kenderaan berat seperti treler dan lori dilaporkan mengabaikan keselamatan kenderaan lain dan bersikap ego, sekali gus menyumbang kepada kes kemalangan maut.

Ada pemandu dikatakan tidak begitu mengambil peduli ciri-ciri keselamatan pemanduan berhemah seperti menganggap kenderaan ringan patut memberi laluan serta keutamaan kepada mereka di atas jalan raya kerana kenderaan dipandu mereka lebih besar.

Sikap mementingkan diri sendiri ini tidak dinafikan turut menjadi punca utama berlaku kemalangan tragik meragut banyak nyawa pengguna kenderaan ringan.

Antara kemalangan tragik membabitkan kenderaan berat seperti kes seorang lelaki dan tiga wanita maut dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer (km) 277.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, dekat Ipoh, minggu lalu.

Dalam kejadian di Pasir Puteh, Kelantan, seorang wanita maut, empat cedera termasuk seorang bayi parah selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan 29 kenderaan di Jalan Kamunting, termasuk lori muatan pasir dan besi.

Antara punca utama kemalangan membabitkan kenderaan berat berlaku berkemungkinan daripada syarikat pengangkutan atau logistik tidak mendapat maklumat rekod lampau kesalahan pemandu serta latar belakang pekerja sebelum diambil bekerja.

Pihak syarikat juga tidak mempunyai akses untuk melihat latar belakang dan rekod lampau pemandu bakal diambil bekerja dengan syarikat mereka sama ada pemandu pernah melakukan kesalahan lalu lintas dan mempunyai saman ‘berkepuk’.

Selain itu, kebanyakan syarikat pengangkutan didapati tidak memasang alat pengehad kelajuan pada kenderaan berat mereka kerana membabitkan kos tambahan operasi.

Alat ini wajar dipasang dalam usaha untuk mengawal pemandu daripada memandu kenderaan berat melebihi had laju ditetapkan, sekali gus berupaya mengurangkan kadar kemalangan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menegaskan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu mengadakan kursus khas kepada pemandu kenderaan berat khususnya treler dan lori untuk meningkatkan tahap pemanduan dan kualiti servis yang baik.

Beliau turut mengarahkan agensi dan pihak berkaitan termasuk JPJ, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) serta Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) meneliti kes kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan berat secara lebih menyeluruh dan mencari kaedah penyelesaian berkesan.

Sementara itu, beliau juga berpendapat JPJ patut lebih tegas dan menyeluruh dalam menyemak rekod pemandu kenderaan berat sebelum meluluskan pembaharuan lesen memandu mereka.

Syarikat pengangkutan juga patut mewajibkan pemandu mereka menghadiri kursus selama satu hingga dua jam bagi meningkatkan semula asas pemanduan serta mengingatkan mereka semula pemanduan berhemah.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply