Sembilan Remaja Merempit Berkonvoi ke Dungun Ditahan

Tindakan sekumpulan remaja menunggang motosikal secara berbahaya sewaktu berkonvoi untuk bersiar-siar di Pantai Sura, Dungun menerima padah apabila ditahan polis pada kelmarin.

Mereka diekori sepasukan polis sejauh kira-kira 29 kilometer dari Kampung Jambu Bongkok di sini sebelum ditahan di Jalan Pantai Sura, Dungun.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, sembilan remaja lelaki yang berkonvoi itu dikesan melakukan aksi berbahaya oleh sepasukan polis yang sedang melaksanakan Op. Samseng Jalan di Jalan Kuala Terengganu – Kuantan di sini.

“Mereka didapati bersaing sesama sendiri sambil melakukan aksi zig zag dan ‘superman’ dengan motosikal masing-masing.

“Ia yang jelas membahayakan bukan sahaja keselamatan diri sendiri malah pengguna jalan raya lain,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Zain berkata, kesemua remaja bermotosikal berkenaan telah diekori sebelum ditahan sewaktu mereka berhenti di sebuah stesen minyak di Jalan Pantai Sura.

Tambah beliau, sembilan remaja telah dibawa bersama motosikal masing-masing ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 dan RM15,000 dan penjara maksimum lima tahun serta lesen memandu digantung bagi tempoh sama jika sabit kesalahan.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply