Kemalangan Motosikal Mungkin Akibat Lumba Haram – PDRM

Polis tidak menolak kemungkinan kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Choong Eu, yang mengorbankan empat nyawa mempunyai kaitan dengan aktiviti lumba haram.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Sophian Santong berkata, Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut berkata, setakat ini tujuh mangsa dikenal pasti terlibat dalam kemalangan terbabit dengan tiga maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Jelas beliau, seramai tiga lagi mangsa masih menerima rawatan di HPP iaitu seorang lelaki yang berada di Zon Merah manakala dua lagi dirawat di Zon Kuning.

“Siasatan awal mendapati kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 4 pagi itu melibatkan beberapa buah motosikal disyaki terlibat dalam aktiviti ‘lumba haram’.

“Semasa di lokasi kejadian dipercayai beberapa penunggang motosikal telah hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain.

“Dalam kejadian tersebut, dua buah kereta jenis Perodua Myvi dan Proton Waja turut dirempuh dari arah belakang oleh kumpulan penunggang motosikal berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Soffian, sebelum kejadian, pihak polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan pasukan trafik dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Timur Laut telah membuat rondaan awal sebagai tindakan pencegahan aktiviti lumba haram tersebut.

“Perancangan untuk menangkap individu-individu yang terlibat dalam lumba haram tersebut juga telah diatur.

“Pihak PDRM menasihati orang ramai tidak melibatkan diri dalam aktiviti lumba haram. Ini bukan sahaja boleh membahayakan nyawa sendiri malah keselamatan pengguna jalan raya lain,” tambahnya.

Jelas beliau, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply