MotoGP: Langgar Espargaro, Quartararo Dikenakan ‘Long Lap Penalty’ Di GP Britain

Pelumba Yamaha, Fabio Quartararo telah dikenakan denda gara-gara kesilapannya melanggar Aleix Espargaro di GP Belanda pada Ahad.

Ketika cuba mengejar Francesco Bagnaia sebaik perlumbaan bermula, Quartararo kehilangan kawalan di Turn 5 lalu terbabas dan terlanggar wakil Aprilia, Espargaro.

Espargaro kemudiannya terpaksa mengejar semula kelompok depan apabila jatuh ke kedudukan ke-15 sebelum berjaya menamatkan saingan di kedudukan keempat.

Sementara Quartararo, mengalami kemalangan kali kedua di Turn 5 apabila jentera Yamaha M1 miliknya mengalami ‘highside’.

Sebaik tamat perlumbaa, Quartararo telah pun berjumpa dengan Espargaro di pit lane bagi memohon maaf dengan pelumba Aprilia itu turut menyambut baik tindakannya.

Susulan kejadian dengan Espargaro, FIM membuat keputusan mengenakan denda ‘Long Lap Penalty’ yang perlu dijalaninya di GP Britain yang akan berlangsung lima minggu lagi.

Menurut FIM, keputusan itu dibuat setelah mendapati Quartararo bukan dalam posisi untuk menyempurnakan pergerakannya lalu mengakibatkan pelanggaran dengan pelumba #41.

Bagaimanapun, Pengurus Pasukan Monster Energy Yamaha, Massimo Meregalli berpendapat keputusan dikenakan pada Quartararo adalah agak keras.

“Kami melihat kemalangan pertama Quartarao dan mendapati keputusan Race Direction untuk perlumbaan seterusnya adalah keras memandangkan dia tidak menyebabkan sesiapa kemalangan sementara Aleix (Espargaro) juga berjaya kutip mata,” jelas Meregalli.

Dia juga berpendapat keputusan dibuat tidak konsisten memandangkan insiden perlumbaan sebelum ini – babitkan Takaaki Nakagami, Alex Rins dan Bagnaia – tidak dikenakan sebarang tindakan.

Saingan pada Ahad sememangnya sukar ditelan kem Yamaha apabila tiga daripada empat pelumba – termasuk Franco Morbidelli dan Darryn Binder turut gagal menamatkan saingan selepas kemalangan.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]