TERKINI: Tiada Lagi Lanjutan, Pengecualian SST Kereta Tamat 30 Jun Ini

Advertisements

Pengecualian cukai SST bagi kenderaan penumpang akan tetap berakhir pada 30 Jun ini umum Kementerian Kewangan Malaysia.

Bagaimanapun, susulan masalah kekurangan cip semikonduktor yang melanda dunia ketika ini, lebih 264,000 kenderaan yang ditempah sewaktu dalam tempoh pengecualian masih belum diserahkan kepada pelanggan.

Untuk itu, kerajaan telah melanjutkan tempoh pendaftaran kenderaan yang ditempah ketika tempoh pengecualian SST sehingga 31 Mac 2023 bagi membenarkan pelanggan menikmati pengecualian cukai tersebut sewajarnya.

Sejak pengecualian cukai SST diperkenalkan pada 15 Jun 2020, sebanyak 868,422 unit kenderaan telah berjaya dijual dengan rakyat Malaysia menikmati pengecualian cukai sehingga RM4.7 bilion.

Pengecualian cukai SST kereta – 100% bagi CKD dan 50% bagi CBU – dilaksanakan sebagai usaha merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan dan memacu momentum perkembangan sektor automotif yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Advertisements