Kerajaan Kekalkan Subsidi Walaupun Harga Minyak Sedunia Meningkat

Kerajaan akan terus melindungi rakyat daripada kesan kenaikan inflasi yang mendadak dengan meneruskan pemberian subsidi walaupun harga minyak global meningkat akibat perang Rusia-Ukraine.

Pengarah Pejabat Belanjawan Negara Datuk Johan Mahmood Merican berkata ini adalah komitmen kerajaan dengan mengambil kira hakikat bahawa negara masih dalam peringkat awal pemulihan daripada kesan Covid-19.

“Kerajaan mengekalkan dasar subsidi semasa untuk melindungi rakyat daripada kenaikan harga dan gangguan kepada rantaian bekalan makanan, walaupun kos untuk subsidi telah meningkat dengan ketara,” katanya.

Johan berkata demikian dalam program Ruang Bicara Bernama TV bertajuk “JaminKerja dan Semarak Niaga untuk Keluarga Malaysia” semalam.

Beliau berkata pergolakan antara Rusia dan Ukraine menyaksikan harga minyak melonjak kepada lebih AS$100 (kira-kira RM421.30) setong, manakala Bajet 2022 yang disediakan kerajaan adalah berdasarkan unjuran atau andaian harga minyak AS$67 setong.

Tambahnya, buat masa ini rakyat Malaysia masih boleh menikmati harga minyak RON95 RM2.05 seliter yang merupakan antara harga terendah berbanding negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi serta negara jiran.

Tanpa subsidi, harga minyak sudah mencecah RM4 seliter, katanya lagi.

“Kenaikan harga minyak turut melonjakkan harga minyak sawit, namun kerajaan masih menyediakan pek sawit bersubsidi 1kg pada harga runcit RM2.50 sebungkus, walaupun mengikut harga pasaran semasa, ia bernilai hampir RM10, ” kata Johan.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply