MotoGP: Kami Mahu Dovizioso Cabar Kejuaraan Dunia – Razlan Razali

Menjelang pembukaan musim 2022 yang akan bermula dengan ujian pra-musim rasmi di Litar Antarabangsa Sepang, prinsipal pasukan WithU Yamaha RNF MotoGP Racing Team, Datuk Razlan Razali meletakkan sasaran tinggi bagi musim baru.

Sewaktu pelancaran pasukan Isnin lalu, Razlan mengharapkan gandingan Andrea Dovizioso dan Darryn Binder mampu mencapai sesuatu membanggakan bagi musim 2022.

Bagi Razlan, sebagai pelumba berpengalaman di pentas kejuaraan dunia, Dovizioso seharusnya mampu memberi saingan.

“Dengan pengalaman yang kami ada, daripada segi sasaran, kami mahu lihat Dovizioso mencabar kejuaraan dunia sementara Binder bersaing untuk anugerah pelumba ‘rookie’ terbaik,” jelasnya.

Tidak cukup dengan itu, Razlan juga mengharapkan pasukan baharu kendaliannya itu melakar pencapaian membanggakan.

“Kami juga mahu muncul sebagai ‘independant team’ terbaik seperti yang kami lakukan sebelum ini. Tetapi kami sedar pada waktu ini, kami adalah pasukan ‘underdog’,” tambah Razlan.

Meneruskan tanggungjawab selaku pasukan satelit Yamaha seperti dilakukan Petronas Sepang Racing Team (SRT) yang telah terkubur sebelum ini, Dovizioso akan menunggang jentera M1 2022 manakala Binder akan mempertaruhkan jentera 2021.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]