RASMI: Marc Marquez Sertai Ujian Pra-Musim Di Litar Antarabangsa Sepang

Marc Marquez telah mendapat lampu hijau untuk kembali ke litar dengan jentera RC213V yang baharu bersama pasukan Repsol Honda di ujian pra-musim rasmi yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang bermula 5 Februari ini.

Juara dunia enam kali MotoGP itu telah pun disahkan bebas daripada sebarang kecederaan selepas sesi pemeriksaan kesihatan pada Isnin dengan doktor mengesahkan Marquez tidak lagi mengalami diplopia.

Ini bermakna Marquez berada dalam keadaan sihat dan stabil sepenuhnya untuk menunggang jentera MotoGP sekaligus memulakan kempen 2022 bermula dengan ujian pra-musim di Sepang pada Februari dan berangkat ke Litar Mandalika, Indonesia pada minggu seterusnya.

Ujian di Sepang menandakan kembalinya Marquez atas litar lumba selepas memenangi GP Emilia Romagna musim lalu.

Marquez akan ditemani rakan sepasukan, Pol Espargaro ke Sepang dalam usaha mencapai keserasian dengan jentera baharu.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]