Kerajaan Perak Diminta Pertimbang Cadangan Bina Litar Di Bukit Merah

Advertisements

Kelab Peminat Cub Prix Malaysia meminta agar kerajaan negeri Perak mempertimbang cadangan untuk mewujudkan sebuah litar lumba motosikal.

Cadangan tersebut dikemukakan Presiden Kelab Peminat Cub Prix Malaysia, Datuk Ton Zailani Mat Darus.

Menurutnya, pembangunan litar lumba tersebut adalah bagi memenuhi permintaan peminat motosikal berkuasa rendah.

“Saya mencadangkan kawasan sekitar Bukit Merah dipilih bagi mewujudkan sebuah litar lumba motosikal berkuasa rendah kerana strategik.

“Lokasi ini lengkap dengan segala kemudahan yang ada seperti berdekatan dengan Lebuh Raya Utara Selatan dan berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang,” jelasnya.

Tambah Datuk Ton lagi, cadangan tersebut telah pun dikemukakan kepada Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad baru-baru ini.

“Kita telah kemukakan perkara itu kepada Menteri Besar dan mengusulkan Lembah Beriah, Bukit Merah sebagai tapak litar lumba motosikal berkuasa rendah.

“Jika litar lumba ini ada, golongan anak muda yang sukakan aktiviti permotoran dapat mengadakan aktiviti di tempat yang betul dan secara tidak lansung, gejala lumba haram dapat dicegah,” tambahnya. – K! Online

Advertisements