MotoGP: Dorna Laksana SOP Ketat Menjelang Ujian Pra-Musim Di Sepang

Penularan Covid-19 menyaksikan penganjuran MotoGP hanya berlangsung di luar Eropah sebanyak tiga kali sahaja (dua di Qatar, satu di AS) dalam tempoh dua musim ini.

Meskipun musim 2021 berjalan lancar, Dorna terpaksa membatalkan enam pusingan atas faktor peningkatan kes Covid-19.

Dorna turut membatalkan ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjelang pembukaan tirai musim 2020 ekoran kekangan kuarantin wajib 14-hari yang dilaksanakan kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun, bagi memastikan ujian pra-musim di Sepang dapat berjalan lancar bagi musim 2022, Dorna memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) ketat Covid-19 sepanjang Sepang Shakedown Test pada 31 Januari hingga 2 Februari diikuti ujian rasmi MotoGP pada 5 hingga 6 Februari 2022.

SOP ketat itu juga bagi memastikan varian Omicron yang ketika ini melanda negara dapat dibendung.

“Setiap pihak yang terlibat telah menerima emel berserta arahan untuk dipatuhi di Sepang.

“Peraturan ini sangat ketat dan membolehkan ujian pra-musim dijalankan dengan risiko rendah,” jelas Pengurus Pelumba MotoGP, Carlo Pernat.

Pernat turut memaklumkan bahawa pihak penginapan (hotel) juga telah dimaklumkan termasuk perpindahan segala struktur ke litar yang akan diuruskan sepenuhnnya pihak pngurusan.

“Tiada kemungkinan langsung untuk keluar daripada gelembung virtual ini,” tambah Pernat.

Pada masa sama, semua kakitangan dan pelumba MotoGP akan menginap sama ada di Hotel Sama-Sama atau Hotel Movenpick.

Sebaik ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semua pasukan akan menjalani jian PCR dan dibawa terus ke hotel untuk tujuan kuarantin kendiri bagi menunggu keputusan ujian yang akan memakan masa antara 12 hingga 24 jam.

MotoGP hanya akan dibenarkan bergerak dari hotel ke litar sahaja.

Sementara itu, individu yang mahu ke SIC perlu mempamerkan bukti lengkap vaksin dan keputusan ujian negatif Covid-19 sebelum dibenarkan masuk.

Menurut laporan media antarabangsa, protokol sama akan turut dilaksanakan di Litar Mandalika, Indonesia.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]