Brabus G700 6X6 Berharga RM3.2 Juta Ini Jadi Trak Kecemasan Bantu Mangsa Banjir

Advertisements

Sebahagian besar kawasan di Malaysia telah ditimpa hujan lebat tanpa henti lebih 24 jam sekaligus menyebabkan berlakunya banjir besar.

Ini menyebabkan akses ke kawasan yang terkesan dengan banjir sukar dimasuki kenderaan lain kecuali beberapa trak pikap yang tinggi.

Bagaimanapun, pengguna Twitter, Nedim Nazri Aziz mendedahkan sahabatnya telah menggunakan kenderaan jenis Brabus G700 6X6 untuk meredah banjir bagi tujuan menyelamatkan mangsa dan menghulur bekalan dan bantuan kepada mereka yang terkesan.

Dalam gambar yang dimuat naik, jelas Brabus G700 6X6 itu membawa bekalan dan beberapa barangan lain meredah banjir.

Dengan jarak kelegaan tanah berada pada 460mm dan mampu melalui kedalaman sehingga 1,000mm menjadikan G700 6X6 ini kenderaan yang cukup sesuai untuk menempuh permukaan sukar.

Menurut laporan Paultan.org, Brabus G700 6X6 ini dibina berdasarkan Mercedes-AMG G 63 6X6 namun hanya untuk pemanduan tangan kiri namun NAza World telah meminta Brabus untuk menghasilkan 15 unit pemanduan tangan kanan untuk pasaran Malaysia.

Ketika diperkenalkan pada 2015, Brabus G700 6X6 ini dipasarkan pada harga RM3.2 juta (sebelum cukai).

Brabus G700 6X6 ini dikuasakan enjin bi-turbo 5.5L V8 yang menjana 690hp dan 960Nm dan dipadankan bersama AMG Speedshift Plus 7G-Tronic automatik. – Paultan.org

Advertisements