“Beri Diskaun Saman Trafik Memalukan Kedaulatan Undang-Undang”

Wakil rakyat (PH-Beruas), Ngeh Koo Ham menyifatkan keputusan menawarkan diskaun bayaran balik saman trafik sehingga 80 peratus adalah tindakan yang memalukan.

Baginya, tindakan memberi pengurangan saman saban tahun seakan meletakkan undang-undang seperti sebuah ‘ supermarket’.

“Ini adalah satu perkara yang memalukan kerana seolah-olah undang-undang negara ini macam ‘ supermarket’,” jelasnya yang menyifatkan tawaran pengurangan saman umpama musim diskaun di pasar raya.

Tambahnya, tawaran diskaun itu juga tidak adil bagi orang awam yang menyelesaikan saman dengan bayaran penuh mengikut masa.

“Mereka yang ikut undang-undang bayar saman ikut tarikh ditetapkan dan bayar jumlah penuh tetapi mereka yang tidak ikut undang-undang dan tidak bayar mengikut waktu diberikan diskaun hingga 80 peratus.

“Ini satu penghinaan kepada kedaulatan undang-undang,” tambah Ngeh.

Sebaliknya, Ngeh mencadangkan pihak polis untuk hanya mengeluarkan saman yang boleh ditangani secara berkeasn demi memastikan orang ramai melunaskan bayaran mengikut tempoh ditetapkan.

“Cadangan saya jangan keluarkan saman selain saman yang boleh dilaksanakan secara berkesan, sepatutnya saman dikeluarkan di tempat perlu sahaja bukannya di kampung atau tempat yang tidak padat penduduk,” tambahnya lagi.

Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan diskaun bayaran balik saman bermula hari ini hingga 12 Disember sempena 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia. – FMT