DWP 2022: ‘Single-Sided Swingarm’, Rim 17″ Kembali Pada Ducati Multistrada V4 Pikes Peak

Advertisements

Episod ketiga Ducati World Premier 2022 yang disiarkan malam tadi mempersembahkan sebuah lagi model baharu menerusi Ducati Multistrada V4 Pikes Peak.

Ducati Multistrada V4 Pikes Peak ini sememangnya dalam jangkaan ekoran beberapa imej ‘spy shot’ telah pun bocor beberapa bulan lebih awal sebelum ini.

Dibangunkan dengan platform Multistrada V4 yang dilancarkan hujung tahun lalu, edisi Pikes Peak kali ini meneruskan tradisi edisi Pikes Peak sebelum ini dengan penggunaan tayar berukuran 17″ berbanding 19″ pada model standard.

Bukan itu sahaja, ciri ‘single-sided swingarm’ turut kembali pada Multistrada V4 Pikes Peak ini sekaligus meningkatkan lagi imej ‘sport-touring’.

Menurut Ducati, beberapa komponen juga telah dikemas kini bagi menghadirkan pengalaman menunggang jentera yang lebih sporty antaranya ‘foot peg’ yang lebih tinggi dan diposisikan lebih kebelakang (10mm), termasuk ‘handlebar’ yang lebih melengkung.

Menariknya, edisi Pikes Peak ini juga adalah 4 kilogram lebih ringan berbanding Multistrada V4.

Ducati juga tidak menyembunyikan hakikat apabila meluahkan rasa bangga bahawa Multistrada V4 Pikes Peak merupakan motosikal ADV paling sporty dalam pasaran ketika ini.

Tidak cukup dengan itu, varian baharu ini juga tampil dengan mod tunggangan ‘Race’ serta suspensi separa-aktif Öhlins.

Antara ciri elektronik yang turut dibawa dari Multistrada V4 adalah:

  • cornering ABS
  • lean-sensitive traction control
  • wheelie control
  • Ducati DQS (quickshifter)
  • Adaptive Cruise Control Bosch

Sementara itu, sistem membrek pula terdiri daripada kaliper brek Brembo Stylema yang dipadankan bersama cakera brek ‘semi-floating’ 330mm.

Akhir sekali imej Multistrada V4 Pikes Peak ditonjolkan menerusi pilihan warna dan grafik yang diinspirasikan daripada jentera MotoGP Ducati.

Advertisements