RASMI: Binder Sertai Dovizioso Di WithU Yamaha RNF MotoGP Team Kendalian Razlan Razali

Sepang Racing Team (SRT) yang dijenamakan semula sebagai RNF MotoGP Team, telah pun menandatangani perjanjian bersama WithU selaku penaja utama pasukan itu bagi menghadapi saingan MotoGP musim 2022.

RNF Racing turut memeterai kerjasama dengan Yamaha Motor Co. sekaligus sah menjadi pasukan satelit rasmi Yamaha bagi kejuaraan dunia MotoGP 2022.

Pada masa sama, RNF Racing turut mengumumkan pelumba Moto3, Darryn Binder, yang ketika ini bersaing bersama Petronas Sprinta Racing, akan sertai Andrea Dovizioso di kelas premier musim depan.

Berita itu sekaligus menyaksikan Binder mengikut jejak Jack Miller yang sebelum ini turut diangkat terus ke MotoGP dari kategori Moto3 pada 2015.

Sementara itu, perjanjian antara RNF Racing dan Yamaha Motor Co turut menyaksikan pasukan kendalian Razlan Razali itu akan beraksi dengan jentera YZR-M1 dengan kerjasama itu akan dilanjutkan hingga musim 2023 dan 2024.