Modenas Ninja 250 Lancar Suku Pertama 2022

Modenas bakal memulakan penjenamaan beberapa model Kawasaki bermula dengan Ninja 250.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan, sewaktu sesi Track Day Modenas Bersama Media yang berlangsung di 3StonePark, Glenmarie, hari ini.

Menurut Roslan, tatkala kekangan pandemik Covid-19 semakin berkurang, pihaknya akan kembali merancakkan kerjasama bersama Kawasaki bermula 2022.

Model yang pernah ditayangkan sebelum ini, Modenas Ninja 250, akan dilancarkan sekitar hujung suku pertama 2022.

Pada masa sama, Roslan turut mengulangi bahawa buat masa ini perancangan awal masih lagi babitkan penjenamaan semula beberapa model dari 250cc hingga 650cc namun perkara itu masih lagi dalam peringkat perbincangan buat masa ini.

Sementara itu, kami turut dimaklumkan bahawa Kawasaki Heavy Industries (KHI) akan menghantar seorang wakil dari Jepun yang akan dilantik sebagai Ketua Pegawai Pemasaran (CMO) bagi membantu melancarkan kerjasama Modenas-Kawasaki.

Antara aspek yang turut akan diperhalusi adalah soal servis selepas jualan serta alat ganti dengan segala maklumat terperinci akan diumumkan kemudian.

Sebelum ini, Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) telah pun mengumumkan pengambil alihan sebagai pengedar rasmi jenama Kawasaki di Malaysia.

Bagaimanapun, proses peralihan tersebut akan mengambil masa enam bulan dan akan dibantu pengendali terdahulu Kawasaki Motors Sdn Bhd (KMSB).

Dalam tempoh peralihan tersebut pemilik motosikal Kawasaki boleh mendapatkan bantuan teknikal dan selenggara serta alat ganti di pengedar rasmi Kawasaki terdahulu.