MotoGP: Kalendar Awal Musim 2022 Diumumkan, GP Malaysia Langsung 23 Oktober

Kalendar MotoGP musim 2022 bakal menyaksikan 21 perlumbaan diadakan dengan Qatar menjadi tuan rumah aksi pembukaan pada 6 Mac.

Musim 2022 menyaksikan pusingan perlumbaan dipanjangkan dengan penyertaan Kymiring di Finland dan Litar Mandalika, di Lombok, Indonesia.

Pusingan pembukaan akan berlangsung dengan perlumbaan waktu malam di Litar Losail, Qatar sebelum berangkat terus ke Indonesia bagi pusingan kedua.

Bagaimanapun, Litar Mandalika masih lagi tertakluk kepada homologasi di samping masih lagi terpalit dengan isu rampasan tanah orang asli dan mendapat kecaman Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pusingan ketiga bakal berlangsung di Argentina selepas litar tersebut dikecualikan sebelum ini ekoran pandemik dan insiden kebakaran yang berlaku di sebahagian kawasan litar.

MotoGP akan kembali ke Texas, Amerika Syarikat sebelum terbang ke Eropah bagi aksi di Portugal, Sepanyol, Perancis dan Itali.

Dua minggu kemudian, aksi bersambung di Litar Catalunya, Jerman, Belanda, dan Finland sebelum cuti musim panas.

Saingan MotoGP kembali bersambng di Silverstone pada Ogos diikuti Red Bull Ring, Misano dan Aragon sebelum terbang ke Asia bagi GP Jepun, Thailand, Australia dan Malaysia.

Litar Antarabangsa Sepang dijadual melangsungkan GP Malaysia pada 23 Oktober 2022 setelah terlepas dua musim sebelum ini ekoran pandemik dan kekangan perjalanan.

Musim 2022 akan menutup tirai pada 6 November di Valencia.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]