RASMI: SRT Terkubur, Razlan Razali Bakal Umum Pasukan Baharu 16 September Ini

Petronas Sepang Racing Team (SRT) mengesahkan bahawa pasukan itu akan menamatkan segala penyertaan dalam kelas MotoGP, Moto2 dan Moto3 setelah berakhirnya musim 2021.

Bagaimanapun, Prinsipal SRT, Datuk Razlan Razali dan Pengurus Pasukan, Johan Stigefelt akan meneruskan usaha dalam kategori MotoGP dengan entiti baharu yang akan diumumkan pada 16 September ini di Misano.

“Perlumbaan terakhir SRT adalah di Valencia dan untuk itu kami mengucapkan terima kasih kepada semua kru, pelumba, peminat dan rakan kongsi atas sokongan selama ini.

“Terutamanya, terima kasih kepada PETRONAS, kerana mereka menjadikan segalanya dapat dilaksanakan. Bersama-sama kami berjaya mengetengahkan jenama PETRONAS dan kepakaran Malaysia di pentas antarabangsa melebihi segala jangkaan.

“Kami juga mahu berterima kasih kepada Litar Antarabangsa Sepang (SIC) atas sokongan mereka dalam membangunkan bakat muda Malaysia.

“Sasaran utama kami adalah melahirkan pelumba Malaysia yang akan beraksi di Kejuaraan Dunia MotoGP tetapi kami berdukacita kerana tidak dapat mencapai matlamat ini,” jelas Razlan.

Setakat GP Britain 2021, SRT telah pun merekodkan 12 petak pertama, 16 podium dan enam kemenangan di kelas MotoGP diikuti satu petak pertama dan satu podium di Moto2 manakala kategori Moto3 menyaksikan enam petak pertama diraih, 12 podium dan dua kemenangan

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]