MotoGP: Ujian Pra-Musim 2022 Bermula Dengan Sepang Shakedown Pada Februari

Susulan pertambahan litar bagi musim 2022, MotoGP membuat keputusan untuk menyemak semula jadual penganjuran ujian pra-musim.

Ujian pra-musim akan bermula dengan Sepang Shakedown babitkan pelumba uji dan pelumba ‘rookie’ pada 1 hingga 2 Februari sebelum ujian rasmi dilangsungkan pada 5 hingga 6 Februari di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

MotoGP kemudiannya akan berangkat ke Litar Jalan Raya Mandalika untuk ujian pra-musim selama tiga hari dari 11-13 Februari.

Ini sekaligus menyaksikan tiada ujian pra-musim akan diadakan di Qatar menjelang perlumbaan pembukaan musim 2022 yang akan berlangsung pada 4 hingga 6 Mac depan.

Sementara itu, kategori Moto2 dan Moto3 akan menjalani ujian pra-musim di Jerez pada 22 hingga 24 November ini.