Kontraktor Jerman memusnahkan bangunan akibat dendam tidak dibayar

Seorang lelak kontraktor bangunan dilaporkan telah meruntuhkan balkoni sebuah blok pangsapuri yang baru siap dibina kerana kecewa tidak mendapat bayaran daripada pemaju.

Satu rakaman dramatik memaparkan bangunan yang terletak di bandar Blumberg, Jerman dimusnahkan oleh sebuah jengkaut pada malam Rabu.

Menurut pihak polis, nilai kerosakan bangunan tersebut dilaporkan mencecah €500,000 (RM2.5 juta).

Pihak berkuasa tempatan mengatakan pemandu jentera berumur 47 tahun itu bertindak sedemikian kerana kecewa bayaran untuk hasil kerjanya digantung.

Lelaki itu dikatakan telah memperoleh jentera tersebut semata-mata untuk melakukan kemusnahan itu dan hanya berhenti kerana hos hidraulik jentera tersebut rosak, lapor media tempatan.

Dia juga turut merosakkan garaj bangunan, di mana terdapat beberapa tong gas.

Difahamkan ketika kejadian, tiada orang di dalam bangunan itu, namun begitu aksi lelaki tersebut telah menarik perhatian sekitar 50 orang di kawasan berhampiran.

Selepas kerosakan itu dilakukan, lelaki tersebut telah masuk ke dalam keretanya dan terus memandu, dan tidak lama selepas kejadian menyerahkan dirinya kepada polis.

Lelaki itu dikatakan merupakan seorang subkontraktor pemaju projek tersebut dan mendakwa bahawa dirinya kini berhutang sebanyak €5 juta.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]