Honda Bangunkan Semula Enjin V4

Honda dilaporkan sedang membangunkan semula enjin V4 selepas pengeluar motosikal Jepun itu memfailkan paten enjin itu di Eropah baru-baru ini.

Difahamkan, paten sama pernah difailkan di Jepun dan Amerika Syarikat pada 2013 namun berbeza kali ini, rekaan enjin V4 tersebut turut membenarkan Honda untuk membangunkan enjin V2.

Langkah ini bukan sesuatu yang baru apabila pengeluar lain turut mengambil pendekatan sama antaranya Aprilia dan Ducati.

Bagaimanapun, menurut laporan, Honda berupaya untuk menggunakan teknologi V4 ke V2 ini dengan menghasilkan rev yang lebih tinggi berbanding pesaing lain.

Menurut laporan Moto.it, senario ini dicapai dengan mengubah aliran minyak lalu membenarkan silinder untuk menyesuaikan diri mengikut kuasa ditetapkan berbanding dengan cara konvensional yang hanya menyalurkan minyak ke dalam silinder seperti motosikal lain.

Cara ini juga dijangka dapat meningkatkan prestasi enjin di samping menghasilkan emisi yang lebih rendah.

*Honda VFR750R

Pengeluar motosikal Jepun itu bukan asing dalam pengeluaran motosikal berenjin V4 kerana giat melakukannya seawal era 80an antaranya menerusi VFR750R (RC30) dan VFR750F (RC15) sebelum melancarkan VFR800 (1998) diikuti VFR800X (2010), VFR1200 (2009-2017) dan VFR1200X.

*Honda RC213V-S

Kali terakhir Honda hasilkan enjin V4 adalah menerusi model edisi terhad RC213V-S, yang dibangunkan dengan teknologi MotoGP berdasarkan RC213V.

Meskipun tidak dapat disahkan model apa yang bakal mendapat suntikan enjin V4, rata-rata peminat Honda pastinya mahu sebuah model yang berada dalam segmen seperti Ducati Panigale V4 dan Aprilia RSV4 ataupun menyaingi segmen ‘hypernaked’ yang kini popular dengan Ducati Streetfighter V4 dan Aprilia Tuono V4 1100. – Moto.it

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.