MotoGP: SRT Berminat Dengan Khidmat Raul Fernandez, Perlu Bayar Penalti Jika Tinggalkan KTM

Petronas Sepang Racing Team (SRT) dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat Raul Fernandez di Moto2 sebagai pengganti Valentino Rossi musim 2022.

Kontrak Rossi di SRT bakal berakhir hujung musim ini dengan pelumba itu dikhabarkan bakal meninggalkan pasukan itu.

Dalam perkembangan terbaru, SRT dikatakan berminat dengan pelumba KTM Ajo di Moto2, Fernandez.

“Sudah tentu kami berminat dengannya, kerana dia pelumba yang sangat laju.

“Tetapi jika dia mahu bersama kami (di SRT), dia perlu menyelesaikan situasinya terlebih dahulu,” jelas pengurus pasukan SRT, Johan Stigefelt.

Bagi meninggalkan KTM, Fernandez perlu membayar penalti sekitar setengah juta Euro, jumlah yang sukar untuk dipersetujui pihak SRT.

Pada masa sama, Stigefelt turut menjelaskan SRT tidak merancang untuk menggangu hubungan antara KTM dan Fernandez.

Fernandez bakal memasuki tahun terakhirnya bersama KTM Ajo musim depan sementara rakan sepasukan, Remy Gardner telah pun mengesahkan slot ke MotoGP bersama KTM Tech3.

Bagaimanapun, bos KTM Motorsport, Pit Beirer, mendakwa Fernandez berminat untuk kekal di Moto2 semusim lagi. – autosport

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.