MotoGP: Vinales Tak Puas Hati Yamaha Tak Berikan Kerjasama

Pelumba Yamaha seakan berdepan nasib berbeza musim ini.

Ketika Fabio Quartararo memenangi tiga perlumbaan setakat ini di samping merekodkan lima petak pertama berturut-turut, lain kisahnya yang menimpa rakan sepasukan Maverick Vinales serta Valentino Rossi dan Franco Morbidelli di Petronas Sepang Racing Team (SRT).

Pusingan GP Jerman semalam menyaksikan Quartararo menaiki podium di tempat ketiga manakala Vinales melintas garisan penamat di kedudukan terakhir (P19) di belakang Morbidelli (P18).

Rossi merupakan satu-satunya pelumba Yamaha selain Quartararo yang berjaya mengutip mata apabila menamatkan aksi di kedudukan ke-14.

Menurut Vinales, dia sering bertanyakan kepada Yamaha apakah yang berlaku namun sehingga kini masih tiada sebarang jawapan diberikan.

Difahamkan, jentera YZR-M1 Vinales masih berdepan masalah sama, kekurangan cengkaman (traction) di litar.

“Sebaik saya membuka ‘throttle’, tayar belakang sering tergelincir dan saya sudah pun mengetengahkan perkara ini sejak di Portimao tetapi masih tiada sebarang penyelesaian.

“Enam pusingan sudah pun berlalu untuk cuba mencari solusi,” jelas Vinales.

Tambah Vinales lagi, dia kecewa kerana tugasnya saban minggu ketika ini hanyalah mengumpul data.

“Saya gagal memintas Marini dan Bastianini selepas 15 lap. Meskipun sudah melakukan persiapan dengan baik tetapi jentera mereka mempunyai lebih banyak kuasa dan cengkaman.

“Saya minta maaf tetapi tidak mungkin saya dapat melakukannya dengan jentera ini,” ujar Vinales lagi.

Aksi di Sachsenring menyaksikan Marc Marquez merekodkan kemenangan sulung musim ini sejak diketepikan dari saingan lebih sembilan bulan ekoran mengalami kecederaan tangan kanan.

Tempat kedua jadi milik Miguel Oliveira manakala Quartararo ketiga.

Saingan MotoGP akan kembali pada 25-27 Jun ini di Assen. – GPone

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]