Moto3: McPhee Tak Puas Hati Ketua Kru Berpindah Ke Dixon

Pelumba Moto3, John McPhee meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan Petronas Sprinta Racing, memindahkan ketua kru, Mark Woodage, kepada Jake Dixon di Moto2.

Perpindahan orang penting di belakang McPhee itu merupakan antara usaha Petronas Sprinta untuk membantu Dixon yang ketika ini bergelut di saingan Moto2.

Bagaimanapun, McPhee gagal menyembunyikan kekecewaannya terhadap keputusan mengejutkan itu.

“Senario ini mengecewakan dan saya sangat kecewa dengan pasukan ini terhadap apa yang mereka telah lakukan.

“Saya rasa ini merupakan kali kedua saya berasa kecewa dalam tempoh 10 bulan – yang pertama adalah tidak melunaskan kontrak Moto2 kepada saya musim lalu.

“Kali ini, seleas tujuh pusingan, mereka mengambil ketua kru saya dan meletakkannya di Moto2. Jadi saya berasa sangat kecewa,” jelas McPhee.

Difahamkan, Petronas Sprinta telah menugaskan juruteknik data, Daniel Bonmati untuk mengisi kekosongan tersebut buat sementara waktu.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Petronas Sprinta, Johan Stigefelt menjelaskan keputusan disebalik perpindahan ketua kru McPhee ke Moto2.

“Saya rasa keputusan ini akan memberi manfaat kepada semua empat individu yang terlibat.

“Saya setuju keputusan ini agak sukar ditelan tetapi untuk jangka masa panjang, ia akan membuahkan hasil,” jelasnya.

Saingan MotoGP berlangsung minggu ini di Sachsenring. – bikesportnews