Suzuki Bakal Saingi Segmen ‘Sport-Touring’ Dengan GSX-S1000T 2022 – 150HP, 239km/j!

Baru-baru ini, Suzuki telah pun melancarkan GSX-S1000 2022 yang merupakan model serba baharu berkonsepkan ‘streetfighter’ untuk pasaran global.

Kemudian, pengeluar motosikal Jepun itu disahkan bakal memperkenalkan GSX-R1000 2022 serba baharu dalam usaha untuk kembali bersaing di Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) tahun depan.

Dalam perkembangan terbaru, pengeluar dari Hamamatsu itu dilaporkan bakal memperkenalkan model ‘sports touring’ setelah memfailkan dokumen dengan nama GSX-S1000T, baru-baru ini.

Menerusi GSX-S1000T 2022 ini, Suzuki secara tidak langsung bakal menyaingi jentera lain dalam segmen tersebut antaranya BMW S 1000 XR.

Menurut laporan, GSX-S1000T akan sertai barisan model Suzuki terbaru dan akan dikuasakan enjin sama yang terdapat pada GSX-S1000.

Menariknya, dokumen tersebut mendedahkan GSX-S1000T bakal menawarkan kuasa sama seperti jentera ‘streetfighter’ itu yang ditetapkan pada 150hp dan 108Nm.

GSX-S1000T itu juga akan mengguna pakai chasis sama dengan ‘wheelbase’ 57.5 inci sekaligus memberi bayangan tetapan suspension, sistem brek dan saiz tayar yang sama dengan GSX-S1000.

Bagaimanapun, sebagai jentera ‘sport-touring’, GSX-S1000T akan dilengkapi penghadang angin tinggi, panel yang lebih lebar serta ukuran yang lebih tinggi (47.8 inci berbanding 42.5 inci pada GSX-S1000).

Dokumen tersebut turut mendedahkan berat (kering) GSX-S1000T ditetapkan pada 225 kilogram (11kg lebih berat berbanding GSX-S1000) manakala kelajuan maksima (top speed) ditetapkan ada 239km/j.

Pelancaran GSX-S1000 2022 baru-baru ini serta bakal memperkenalkan GSX-R1000 dan GSX-S1000T 2022 membuktikan Suzuki serius untuk kembali menyaingi pasaran motosikal berkuasa tinggi dengan rekaan dan fungsi elektronik serba baharu.

Nantikan perkembangan seterusnya (beserta gambar) mengenai Suzuki GSX-S1000T dalam masa terdekat.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]