Benelli 1200GT Dalam Peringkat Pengeluaran, Bakal Masuk Malaysia?

Baru-baru ini, Benelli telah pun merasmikan 1200GT di Beijing Motor Show, setahun selepas mendedahkan motosikal itu sebagai model konsep.

Benelli 1200GT ini merupakan jentera bersesaran 1,279cc tiga silinder yang merupakan enjin terbesar dan berkuasa pernah dihasilkan syarikat itu yang menawarkan 134hp pada 9,000rpm dan 119Nm pada 6,500rpm.

Menariknya, ketika pelancaran tersebut, Benelli – yang merupakan anak syarikat milik Qianjiang Motorcycle – turut mengumumkan harga rasmi, CNY99,800 (RM64,100).

Harga tersebut pastinya menjadikan 1200GT ini model ‘grand tourer’ paling mampu milik dalam pasaran selain daripada CFMoto 1250TR-G yang juga dijangka dilancarkan secara global dalam masa terdekat.

Menurut Benelli, pembangunan enjin 1,279cc tersebut adalah berlandaskan enjin 1209cc tiga silinder yang membuat penampilan menerusi Benelli 898cc Tornada Tre.

Antara ciri yang terdapat pada 1200GT adalah seperti berikut:

  • paparan TFT 15″
  • SatNav
  • penghadang angin boleh laras elektronik
  • cermin sisi boleh lipat elektronik
  • keyless
  • kamera depan dan belakang
  • Boshc ABS dan kaliper brek Brembo

Sementara itu, melihat kepada barisan pelbagai model Benelli yang dipasarkan di Malaysia, pastinya peluang untuk melihat 1200GT ini cukup cerah apatah lagi permintaan terhadap motosikal segmen ‘tourer’ semakin meningkat.

Dengan rata-rata jenama motosikal lain dalam segmennya didatangkan dengan harga lebih RM100,000, kemasukan 1200GT pastinya dihargai pelanggan yang mencari model yang lebih mampu milik.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]