Suzuki Bakal Perkenalkan GSX-R1000 2022 Serba Baharu Dengan Lebih 200HP

Pasaran motosikal ketika ini telah pun dilambakkan dengan pelbagai model yang telah dinaik taraf dengan reka bentuk, enjin dan elektronik baharu.

Namun, lain kisahnya bagi pengeluar motosikal Jepun, Suzuki, yang masih lagi ketinggalan di belakang terutamanya model ‘flagship’ GSX-R1000.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, kilang Hamamatsu dikhabarkan bakal memperkenalkan GSX-R1000 2022 serba baharu lewat tahun ini.

Menurut laporan, model tersebut akan mendapat pelbagai naik taraf baharu dalam usaha kembali bersaing di pentas Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK).

Meskipun mencipta nama bersama Joan Mir dengan menjuarai MotoGP musim lalu, kehadiran Suzuki di perlumbaan motosikal ‘production’ terus sunyi.

Difahamkan, Suzuki juga akan memecah halangan 200hp bagi menyaingi jentera lain di WorldSBK antaranya Ducati Panigale V4 R, Kawasaki ZX-10RR, BMW M 1000 RR, Honda CBR1000RR-R dan Yamaha YZF-R1.

Meskipun tiada pengesahan ketika ini namun Suzuki juga dicanang bakal membawa rekaan serba baharu kepada GSX-R1000 tersebut termasuk beberapa ciri elektronik terkini. – asphalt&rubber