MotoGP: Miller Teruja Jika Ada Lapan Jentera Ducati Musim Depan

Pelumba factory Ducati, Jack Miller, menyambut baik sekiranya pasukan itu membekalkan empat pasukan dan lapan pelumba bagi musim 2022.

Ketika ini, Ducati membariskan Miller dan Francesco Bagnaia di samping turut membekalkan Desmosedici GP kepada Pramac yang telah pun melanjutkan perjanjian sebagai pasukan satelit utama sehingga 2024.

Bagaimanapun, Avintia – selaku pasukan ketiga Ducati – bakal menamatkan kontrak bersaing di kelas premier hujung musim ini dan akan digantikan dengan Aramco Racing Team VR46.

Situasi ini sekaligus menguatkan khabar angin bahawa VR46 bakal menjadi pasukan satelit Ducati musim depan.

Pada masa sama, Ducati turut dicanang berminat menjalinkan kerjasama dengan pasukan Gresini, yang akan bergerak sendirian setelah perjanjian bersama Aprilia berakhir di akhir musim ini.

“Jika ada lapan Ducati bermakna, jentera 2021 milik saya dan Pecco (Bagnaia), serta Johann Zarco dan Jorge Martin di Pramac akan dibekalkan kepada dua pasukan baharu musim depan.

“Jika itu perancangannya maka saya berasakan Ducati Corse mempunyai asas yang baik untuk melaksanakannya,” jelas Miller.

Dalam perkembangan lain, saingan MotoGP kembali bersambung hujung minggu ini di Litar Catalunya, Sepanyol.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.