CEV 2021: Hakim Danish Sertai Sharul Ezwan Di ETC

Juara Kejuaraan SIC MiniGP Musim Pertama, Hakim Danish, bakal membuat penampilan di European Talent Cup (ETC) 2021 pada 13 Jun ini di litar Catalunya.

Hakim bakal mewakili Liqui Moly Intact SIC Racing Team bersama rakan sepasukan, Sharul Ezwan.

Pelumba berusia 14 tahun itu telah menampilkan prestasi membanggakan di Idemitsu Asia Talent Cup (IATC) di Qatar apabila berjaya merekodkan tiga podium dalam musim pertamanya.

Susulan kejayaan di IATC, Liqui Moly Intact SIC Racing Team telah menjemput Hakim untuk beraksi di ETC dalam usaha memberikan pendedahan perlumbaan di peringkat lebih tinggi dan kompetitif.

Penglibatan Hakim di ETC menyaksikan terdapat empat wakil negara yang bersaing di FIM CEV Repsol antaranya, Adam Norrodin di Kejuaraan Eropah Moto2, Syarifuddin Azman @ Damok di Kejuaraan Dunia Junior Moto3 dan Sharul Ezwan di ETC.

Hakim turut berkongsi keterujaanya untuk beraksi di ETC.

“Saya bersyukur dan teruja untuk berlumba di ETC dan berdepan saingan daripada pelumba Eropah bersama rakan sepasukan, Sharul Ezwan.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada penaja, terutamanya IntactGP dan SIC. Pastinya peluang ini akan memberikan pengalaman yang terbaik,” jelasnya.

Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin, turut meluahkan rasa yakin terhadap Hakim.

“Saya bersyukur kerana Hakim Danish diberikan peluang ini. Terima kasih kepada IntactGP dan SIC.

“Dia seorang yang berbakat, dan ETC merupakan platform terbaik untuk untuk mengutip pengalaman berlumba bersama pelumba Eropah.

“Kami yakin dia mampu besaing dengan baik,” ujar Zulfahmi.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]