Generasi Baharu Modenas Dominar D400 Hampiri Pelancaran?

Modenas Dominar D400 merupakan motosikal segmen ‘touring’ yang telah pun berada di pasaran tempatan sejak dilancarkan sekitar April 2018.

Selain daripada Pulsar NS200 dan RS200, Dominar merupakan model yang ditawarkan Modenas hasil penjenamaan semula dari jenama motosikal India, Bajaj Auto.

Bagaimanapun, setakat ini tiada penambahbaikan terbaru diperkenalkan Modenas selain mengemaskini pilihan warna dengan tawaran warna merah dan biru.

Namun, dalam perkembangan terbaru, kami difahamkan Modenas bakal melancarkan generasi baharu Dominar D400 tidak lama lagi.

Dikenali sebagai Dominar UG di India, generasi baharu itu telah pun dilancarkan pada pertengahan tahun 2019 dan tampil dengan pelbagai ciri terbaru sesuai dengan jolokan UG atau ‘Upgrade’.

Model baharu itu masih lagi didatangkan dengan enjin 373.3cc satu silinder namun mendapat tetapan DOHC berbanding SOHC sebelum ini.

Hasilnya, Dominar UG kini menawarkan 39.5hp, naik 5hp berbanding generasi sebelumnya.

Bukan itu sahaja, model baharu ini juga tampil dengan fork jenis USD 43mm, ekzos berkembar, kusyen baharu, side stand lebih kukuh, kuasa membrek lebih jitu, serta fungsi petunjuk gear.

Cakera brek 320mm juga kini berada di sebelah kiri yang dipadankan bersama kaliper brek radial dari ByBre.

Melihat kepada ciri ditawarkan, kami menjangkakan terdapat sedikit peningkatan harga berbanding Dominar sebelum ini yang ditawarkan pada harga sekitar RM13,000.

Apa yang pasti, model dinaik taraf ini pastinya akan menarik perhatian penunggang motosikal yang berminat menaik taraf ke jentera bersesaran lebih besar namun dengan harga yang lebih mampu milik berbanding jenama lain dalam segmennya.