Yamaha YZF-R7 2022 Dilancarkan – 72.3HP, 67.9Nm!

Yamaha dengan rasminya melancarkan YZF-R7 2022 serba baharu, motosikal segmen supersport terbaru dari pengeluar Jepun itu.

Dibina berlandaskan platform enjin CP2 689cc yang sama terdapat pada model naked, MT-07, R7 ini turut menampilkan kerangka yang ringan digabungkan bersama ciri aerodinamik terbaik yang diinspirasikan daripada R6 dan R1.

Chasis

YZF-R7 dibina dengan kerangka jenis ‘high-strenght steel’ yang menawarkan ketegaran terbaik di samping menghasilkan tunggangan lebih responsif.

Kerangka tersebut juga menyumbang kepada ‘bodywork’ yang paling langsing pernah dihasilkan Yamaha dalam barisan model Supersports.

Enjin

Yamaha R7 dikuasakan enjin CP2 689cc DOHC dengan penyejukan cecair yang terbukti berkuasa dan efisien sepertimana yang terdapat pada MT-07 2021.

Hasilnya, R7 menawarkan kuasa dan prestasi yang sama seperti MT-07 dengan 72.3hp pada 8,750rpm dan 67.9Nm pada 6,500rpm.

Crank dengan kedudukan 270 darjah juga menghasilkan urutan pembakaran (firing sequence) yang tak sekata sekaligus menghasilkan bunyi ekzos yang lebih padu sewaktu pecutan.

Bahagian enjin juga telah dinaik taraf dengan merendahkan ratio gear kedua dalam usaha meningkatkan pecutan.

Motosikal ini juga tampil dengan ciri assist/slipper clutch yang pertama kalinya ditawarkan pada jentera CP2.

Sistem suspension dan brek

Sebagai jentera untuk kegunaan di jalan raya dan litar lumba, R7 dilengkapi dengan fork depan USD dari KYB jenis berasingan, compression di sebelah kiri dan rebound di sebelah kanan.

Sudut fork juga lebih condong dengan 23.7 darjah berbanding 24 darjah pada MT-07 sekaligus menyumbang kepada jarak antara tayar 5mm lebih pendek berbanding MT-07 yang berada pada 1,395mm.

Penyerap hentakan belakang juga boleh diselaraskan untuk preload dan rebound.

Sementara itu, sistem brek dikendalikan kaliper Blue Sport 4-pot berkembar dengan cakera brek depan 298mm yang turut dipadankan bersama master cylinder Brembo.

Ergonomik tempat duduk

Meskipun mendapat inspirasi dari R6 dan R1, tempat duduk R7 tidaklah agresif seperti kedua-dua model itu namun masih lagi tampak sporty.

Ciri ini seangkatan dengan konsep rekaan yang terdapat pada Aprilia RS660 dan CBR650R dalam usaha menghasilkan motosikal supersport yang lebih ‘mesra’ namun masih praktikal bukan sahaja di jalan raya malah di litar lumba.

Menurut Yamaha, R7 ini tampil dengan dua pilihan warna, Yamaha Blue dan Yamaha Blkac.

Antara ciri lain ditawarkan:

  • skrin digital LCD dengan paparan pelbagai fungsi
  • lampu depan LED jenis bi-functional
  • lampu belakang LED
  • quickshifter (optional)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.