CEV: Adam Terus Cemerlang Di Moto2, Naik Podium Di Tempat Ketiga

Pelumba Moto2 negara di Kejuaraan Motosikal Eropah CEV, Adam Norrodin, terus mengorak langkah cemerlang apabila menamatkan aksi di tempat ketiga di Litar Ricardo Tormo di Valencia, Sepanyol, pada Ahad.

Ini merupakan podium kedua berturut-turut bagi pelumba pasukan Liqui Moly Intact SIC Racing Team itu selepas melakar kejayaan sama di Litar Estoril pada 25 April lalu.

Adam menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 14minit 43.890 saat sementara pasukan Boscoscuro Talent Team-ciatt merekodkan kemenangan satu dua menerui Fermin Aldeguer dan Alonso Lopez.

Sementara itu, Adam turut sempat mengucapkan Selamat Hari Ibu dan Selamat Hari Raya di samping pengurus pasukan, Zulfahmi Khairuddin, sebelum aksi di Valencia dimulakan.

Kejayaan ini meletakkan Adam di kedudukan ketiga dalam perebutan kejuaraan Moto2 CEV dengan 45 mata, 30 mata di belakang pendahulu, Aldeguer.

Dalam perkembangan lain, pelumba negara di saingan Moto3 CEV, Syarifuddin Azman @ Damok, berjaya mengutip empat mata apabila menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ke-12 sebelum terpaksa berpuas hati dengan kedudukan ke-19 pada Perlumbaan 2.

Seorang lagi wakil negara, Muhammad Sharul Ezwan Sharil di kelas European Talent Cup, menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ke-20 sebelum memperbaiki kedudukan di Perlumbaan 2 dengan tempat ke-16.

Kejuaraan Motosikal Eropah CEV akan kembali bersambung di Litar Catalunya bulan depan.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]