Tempoh Menunggu Perodua Ativa Antara Dua Hingga Empat Bulan

Perodua merekodkan jualan 20,399 unit pada bulan April dengan model baru, Ativa antara pemangkin utama dengan 4,625 unit telah pun terjual.

Menurut Perodua, sejumlah 9,000 unit Ativa telah pun dijual sejak tarikh pelancaran pada 3 Mac lalu dengan 290 tempahan diterima setiap hari.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad mengucapkan terima kasih terhadap sokongan yang diberikan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan padu yang diberikan.

“Tempoh menunggu Ativa kini dari dua hingga empat bulan, bergantung kepada warna dan varian yang diingini. Kami menasihatkan para pelanggan kami yang dihargai untuk bercakap dengan penasihat jualan kami yang sah untuk mendapatkan maklumat terkini dan tepat mengenai tempoh menunggu bagi pelbagai kombinasi varian-warna Ativa,” jelasnya.

Bagaimanapun, angka jualan itu turun 16.5 peratus berbanding Mac susulan isu kekurangan semikonduktor yang beri kesan pada semua sektor pengilangan dunia ketika ini.

“Walaupun isu kekurangan cip semikonduktor masih berlangsung secara global, Perodua berjaya menghasilkan 20,278 kenderaan pada April 2021, menjadikan jumlah pengeluaran kami setakat tahun ini sebanyak 80,661 unit.

“Isu kekurangan cip merupakan keutamaan kami buat masa ini. Kami sedang mengkaji kesemua sumber yang ada untuk menanganinya, termasuk bekerjasama dengan pihak kerajaan dan rakan-rakan niaga kami untuk mencari penyelesaian.

“Perodua tetap komited terhadap penghantaran tepat pada masanya, dibantu oleh skala ekonomi kami. Kami mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan yang dihargai atas kesabaran mereka,” tambah Dato’ Zainal.