Proton Teruskan Momentum Jualan Pada April – 15,017 Unit Berjaya Dijual

PROTON meneruskan momentum jualan 2021 dengan mencatat peningkatan bagi April dengan lebih 15,017 unit pelbagai model berjaya dijual.

Kenaikan 0.18 peratus berbanding tahun lalu itu menandakan permulaan sihat bagi Suku Kedua tahun ini sekaligus mengukuhkan kedudukan PROTON di tempat kedua dengan 47,843 unit jualan setakat ini.

PROTON Saga turut kembali ke kedudukan teratas sebagai model nasional popular dengan 5,472 unit dijual bulan lalu meskipun terdapat penurunan berbanding bulan sebelumnya.

Sementara itu, jualan PROTON X50 terus kukuh dengan 3,583 unit diserahkan kepada pelanggan manakala PROTON X70 kekal memacu segmen-C dengan 2,101 unit dijual pada April.

Tiga model lain turut mempamerkan angka jualan tinggi dengan 2,266 unit PROTON Persona dijual diikuti Iriz dengan 974 unit dan Exora terus terajui MPV segmen-C dengan 606 unit terjual.

“April adalah bulan yang bagus untuk industri automotif dan selain dari PROTON, beberapa jenama lain juga mempunyai bulan terbaik tahun ini.

“TIV dianggarkan melebihi 56,000 unit kerana semua jenama sedang berusaha untuk memenuhi pesanan penjualan sebelum berakhirnya insentif cukai penjualan PENJANA pada
akhir bulan Jun.

“Bagi PROTON, kami meneruskan usaha untuk memenuhi permintaan produk kami yang tinggi di samping mengekalkan tahap kualiti produk. Pada masa yang sama, kami fokus untuk meningkatkan khidmat pelanggan dan menangani masalah berkaitan dengan ketersediaan alat ganti, satu aspek yang sangat penting ketika jumlah penjualan kami sedang meningkat. Kami menjangkakan situasi akan semakin pulih dan kami tetap berusaha keras untuk memendekkan jangka masa itu,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, Roslan Abdullah.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.