MotoGP: Spesifikasi Berbeza, Espargaro Persoal Tak Dapat Layanan Sama Rata

Pelumba Repsol Honda, Pol Espargaro, mula menyuarakan ketidak puasan hati terhadap HRC yang tidak memberikan layanan sama rata.

Espargaro kecewa apabila mengetahui bahawa dia mendapat jentera RC213V dengan spesifikasi berbeza berbanding Marc Marrquez.

Pelumba Sepanyol itu sertai Repsol Honda dari KTM pada hujung musim lalu dalam usaha mengejar kedudukan lebih baik dan hanya bersaing bersama Marquez sewaktu Di Portimao selepas rakan sepasukannya itu diketepikan ekoran masalah kecederaan.

Bagaimanapun, selepas aksi di Jerez yang menyaksikan dia menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10, di belakang Marquez, Espargaro meluahkan kekecewaannya terhadap situasi yang dihadapi ketika ini.

“Jentera tiada cengkaman dan kelajuan juga tidak berapa baik. Saya tidak dapat menunggang dengan lancar.

“Saya hanya seorang pekerja, jadi apa sahaja pakej yang mereka (HRC) beri, saya akan cuba yang terbaik dan kemudian membuat keputusan mana satu yang lebih baik.

“Kami semua menggunakan pakej yang berlainan, Marquez guna pakej lain, saya guna pakej lain malah pasukan satelit juga menggunakan mesin yang berbeza.

“Akan tetapi, masalahnya sekarang saya tidak dapat mengukur sama ada saya, jentera atau pakej yang digunakan yang tidak cukup bagus. Saya bingung,” jelas Espargaro.

Susulan permasalahan ini, Espargaro menjelaskan dia tidak dapat menghulur sebarang bantuan dalam pembangunan jentera ketika ini.

“Berdasarkan pengamatan saya, saya tidak dapat membantu mereka (HRC) dan mereka juga tidak dapat membantu saya kerana setiap pelumba mendapat pakej berbeza,” tambahnya.

Walaupun baru sertai Repsol Honda, Espargaro tidak malu untuk menyuarakan pendapatnya apatah lagi tidak berpuas hati HRC mengikut telunjuk Marquez dalam pembangunan jentera.

Bagaimanapun, tindakan HRC memfokuskan pembangunan RC213V mengikut acuan Marquez bukan lagi satu kejutan, apabila langkah itu menghadiahkan enam kejuaraan dunia MotoGP sebelum ini.

Walaupun situasi semasa adalah sukar, bagi HRC, Marquez adalah bintang utama pasukan itu.

Saingan MotoGP kembali bersambung pada 14-16 Mei ini di Litar Le Mans. – Visordown