CEV2021: Adam Norrodin Langkah Kanan, Sharul, Damok Berjaya Kutip Mata Di Estoril

Pelumba Moto2 negara di Kejuaraan CEV Repsol 2021, Adam Norrodin, memulakan pusingan pertama di Autodromo Do Estoril dengan langkah kanan.

*Adam Norrodin #7

Pelumba pasukan LiquiMoly IntactGP SIC Racing itu berjaya mengutip 29 mata setelah berjaya menaiki podium di tempat ketiga pada Perlumbaan 1 dan tempat keempat dalam Perlumbaan 2.

Sementara itu, pelumba Boscoscuro Talent Team-Ciatti, Fermin Aldeguer, memenangi kedua-dua perlumbaan diikuti rakan sepasukan, Alonso Lopez, kedua.

Kejayaan ini sekaligus meletakkan Adam dalam landasan tepat dalam merekodkan kedudukan terbaik musim ini.

“Saya gembira kerana dapat podium dalam Perlumbaan 1. Ini kerana saya memiliki pasukan yang baik di belakang saya. Kami telah berusaha keras hujung minggu ini jadi saya bersyukur dengan kedudukan podium.

“Dalam Perlumbaan 2, saya bermula dengan baik tetapi ‘overshoot’ di awal perlumbaan dan menamatkan perlumbaan di P4. Masih banyak yang perlu diperbaiki lagi, jumpa anda semua di Valencia!,” jelasnya.

Sementara itu, Muhammad Sharul Ezwan yang beraksi di European Talent Cup berjaya mengutip sembilan mata di Litar Estoril.

*Muhammad Sharul Ezwan #36

Pelumba, LiquiMoly IntactGP SIC Racing itu beraksi mantap pada Perlumbaan 1 dan berjaya menduduki tempat ke-7 sebelum gagal menamatkan Perlumbaan 2 ekoran terbabit kemalangan.

Bagaimanapun, Sharul teruja kerana berjaya memperbaiki prestasi musim lalu.

“Saya bersyukur segalanya berjalan lancar dalam Perlumbaan 1. Saya berjaya memperbaiki tunggangan dan lebih agresif berbanding tahun lalu.

“Kelajuan saya konsiten dalam Perlumbaan 1 dan saya berusaha dengan lebih keras ketika berbaki lima lap. Menamatkan aksi di P7 adalah peningkatan besar bagi saya.

“Saya terkeluar dalam Perlumbaan 2 ekoran berlakunya kemalangan dihadapan saya dan tidak sempat mengelak. Bagaimanapun, saya percaya dapat meneruskan momentum ini di Valencia,” ujar Sharul.

Dalam perkembangan di Moto3, Syarifuddin Azman atau Damok, berjaya menamatkan aksi di kedudukan ke-14 meskipun bermula di petak ke-30.

*Syarifuddin Azman #63

“Saya memulakan aksi hari ini di petak ke-30. Jadi saya terpaksa bekerjaa keras dalam perlumbaan kali ini.

“Tetapi saya bersyukur kerana dapat mengutip (dua) mata di P14. Saya mahu berterima kasih kepada ketua krew dan pasukan kerana bertungkus lumus menyiapkan jentera saya.

“Terima kasih juga kepada keluarga, penaja dan rakan-rakan yang telah memberi dorongan.

“Dalam pusingan seterusnya, saya akan terus mengekalkan fokus,” kata Damok.

Kejuaraan CEV Repsol 2021 akan kembali bersambung di Litar Ricardo Tormo (Valencia) pada 9 Mei ini.