Ducati Monster 2021 Masuk Malaysia Suku Ketiga Tahun Ini?

Ducati telah membuat kejutan pada Disember tahun lalu apabila mempersembahkan Monster 2021 serba baharu.

Bagaimanapun, selang beberapa bulan kemudian, kami difahamkan bahawa Ducati Malaysia bakal melancarkan Monster serba baharu itu sekitar suku ketiga tahun ini.

Meskipun tiada pengesahan rasmi namun melihat kepada pelancaran model lain sebelum ini, Ducati Malaysia tidak mengambil masa lama untuk memperkenalkan model baharu beberapa bulan selepas pelancaran global.

Generasi baharu Monster itu menampilkan rekaan berlainan termasuk tidak mengikut acuan sebelumnya dengan tidak lagi mengguna pakai kerangka jenis steel trellis.

Sebaliknya, menerapkan penggunaan kerangka depan jenis aluminium yang terdapat pada Panigale V4 dalam usaha merendahkan berat jenteras sekaligus menyaksikan motosikal ini menawarkan 166 kilogram.

Setiap komponen juga telah direka semula dan hasilnya rim kini 1.7kg lebih ringan, swingarm 1.6kg lebih ringan dan berat subframe turun 1.9kg hasil daripada teknologi GFRP (Glass Fibre Reinforced Polymer) sekaligus menyaksikan penurunan berat sehingga 18kg.

Bagaimanapun, model 2021 itu masih lagi mengekalkan beberapa ciri lama antaranya tangki jenis ‘bison back’ serta lampu berbentuk bulat.

Model 2021 ini juga bernadikan enjin baharu, Testastretta 937cc dengan silinder berkembar (twin-cylinder) 11-darjah yang menjana 111hp pada 9,250rpm dan 95Nm pada 6,500rpm.

Antara ciri lain ditawarkan:

  • Ducati Quickshift (up/down)
  • ABS Cornering
  • Traction control
  • Wheelie control
  • Launch control.
  • Tiga mod tunggangan; Sport, Urban dan Touring
  • Paparan TFT 4.3 ini berwarna

Bagaimanapun, sementara menanti pelancaran Ducati Monster, Ducati Malaysia terlebih dahulu dijangka akan memperkenalkan Multistrada V4 untuk pasaran tempatan.