MotoGP: Miller Sengaja Langgar Saya – Joan Mir

Disebalik kemenangan Fabio Quartararo di GP Doha, insiden membabitkan Jack Miller-Joan Mir turut mencuri perhatian.

Telah berlaku persentuhan di antara pelumba Suzuki itu dan Miller di Turn 10 ketika sedang rancak merebut kedudukan ke-5.

Akibat pelanggaran itu, pelumba Ducati itu tersasar dari garisan perlumbaan namun Mir bertindak mengangkat kaki kanan sebagai tanda permohonan maaf.

Bagaimanapun, seakan tidak puas hati, Miller bertindak memecut laju menghampiri selekoh terakhir dan melanggar bahu dengan Mir sehinggakan menolak juara dunia musim lalu itu di luar landasan litar.

Mir bingkas meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan pelumba Australia itu.

“Turn 10 merupakan satu-satunya tempat yang saya boleh membuat pintasan. Saya mengambil posisi di sebelah kanan dan dia (Miller) mengekalkan kedudukan lalu kami bersentuhan.

“Saya faham tindakan saya sedikit berisiko tetapi bukanlah melampaui batas. Jadi saya terus menggerakan kaki sebagai tanda mohon maaf.

“Tetapi sewaktu di selekoh terakhir, ketika saya telah pun tersasarr jauh dari garisan pelumbaan, saya nampak Jack (Miller). Dia memandang saya lalu melanggar saya dan kami hampir kemalangan. Tindakan itu sangat berisiko dan cukup bahaya,” tegasnya.

Meskipun Race Direction mendapati tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap insiden itu, namun Mir berasarkan kejadian tersebut tidak sepatutnya berlaku.

“Saya rasa tindakan Miller disengajakan. Perkara ini perlu disiasat. Jika disengajakan, dia harus dikenakan tindakan penalti,” tambahnya.

Sementara itu, menurut laporan terkini, Suzuki membuat keputusan untuk tidak mengambil sebarang tindakan lanjut setelah meneliti insiden pelanggarran di antara kedua-dua pelumba.