Perodua Jual 4,345 Unit Ativa Dalam Tempoh 30 Hari!

Populariti Perodua selaku jenama kenderaan tempatan terus diperkukuh apabila lebih 57,911 unit model telah pun dijual bagi suku pertama 2021.

Angka itu menyumbang kepada peningkatan jualan 29 peratus berbanding 44,977 unit terjual bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad, kejayaan itu antaranya disumbang model baharu, Ativa yang baru dilancarkan.

“Bulan Mac menyaksikan peningkatan jumlah jualan kami kepada 24,433 unit, didorong permintaan yang tinggi, terutamanya bagi Ativa, yang telah menerima sebanyak 14,574 tempahan sejak dibuka untuk pesanan pada 19hb Februari lalu,” jelasnya.

Daripada jumlah tempahan Ativa yang diterima setakat ini, 4,345 unit telah pun diserahkan kepada pelanggan bermula 3 Mac lalu dengan 67 peratus membabitkan varian AV (varian tertinggi).

“Ini menjadikan Perodua Ativa SUV kompak terlaris di negara ini pada bulan Mac. Kami amat bersyukur, Perodua Ativa telah mencapai permulaan yang begitu kukuh dan kami telah berjaya mengatasi sasaran penghantaran bulanan sebanyak 3,000 unit pada bulan pertama,” tambah Zainal lagi.

Bagi tahun 2021, Perodua mensasarkan pengeluaran sebanyak 272,000 unit, pertambahan 23 peratus berbanding 220,986 unit pada 2020.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.