Aprilia RS660 Mendarat Di Malaysia – RM59,900!

Aprilia RS660 telah pun dirasmikan di Malaysia oleh pengedar rasmi jenama Aprilia di Malaysia, Didi Resources Sdn Bhd.

Tampil dengan enjin parallel-twin 660cc generasi baharu yang berkemampuan menjana 100hp disamping menggabungkan rekaan sofistikated dan teknologi terkini, RS660 menandakan kebangkitan semula motosikal segmen pertengahan.

Enjin

Aprilia RS660 digerakkan dengan enjin dua silinder selari 660cc serba baharu yang diinspirasikan daripada enjin 1100cc V4 dan turut mencapai homologasi Euro 5.

Enjin ini menawarkan 100hp pada 10,500rpm dan 67Nm pada 8,500rpm dengan 80 peratus tork boleh dirasi seawal 4,000rpm dan mencapai 90 peratus ketika rpm mencapai paras 6,250.

Reka Bentuk

Bahagian depan dicorakkan dengan gabungan ‘triple’ LED penuh dan Daytime Running Light (DRL) bagi memastikan pencahayaan yang efisien.

Rekaan fairing dan keseluruhan jentera turut mencerminkan elemen sama yang terdapat pada RSV4 1100 Factory dan Tuono 1100 2021 sekaligus menghadirkan rupa yang agresif dan penuh gaya.

Menariknya, penggunaan kerangka dan ‘swingarm’ jenis aluminium turut menyumbang kepada berat yang rendah namun lebih tegar dan tahan lasak untuk kegunaan harian dan di litar pada hujung minggu.

Sistem elektronik

Seperti ‘abang besar’, RSV4 1100, RS660 turut tampil dengan ‘six-axis inertial platfrom’ yang mengawal Aprilia Performance Ride Control (APRC) yang turut menawarkan fungsi berikut:

  • Aprilia Traction Control (ATC)
  • Aprilia Wheelie Control (AWC)
  • Aprilia Cruise Control (ACC)
  • Aprilia Quick Shift (AQS)
  • Aprilia Engine Brake (AEB)
  • Aprilia Engine Map (AEM)
  • Cornering ABS

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • tangki 15L
  • paparan TFT dengan fungsi Aprilia MIA
  • lima mod tunggangan (Commute/Dynamic/Individual/Challenge/Time)
  • fork depan Kayaba 41mm boleh laras
  • kaliper brek Brembo berkembar depan dan tunggal di belakang

Aprilia RS660 ini ditawarkan pada harga pengenalan RM59,900.