Kompaun RM2,000 Jika Beli Makanan Di Lampu Isyarat

Susulan pandemik Covid-19, orang ramai yang terkesan terpaksa mencari pelbagai cara untuk menjana pendapatan termasuklah menjual makanan di lampu isyarat.

Antara makanan popular adalah buah-buahan dan minuman.

Bagaimanapun, difahamkan tindakan membeli makanan di lampu isyarat adalah satu kesalahan dan pembeli boleh dikenakan denda RM2,000.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang menjelaskan bahawa aktiviti meniaga di lampu isyarat bukan sahaja membahayakan penjual malah pengguna jalan raya lain.

“Menerusi Ops Kesedaran, Polis Johor telah mengenal pasti sebanyak 52 lokasi yang menjadi tumpuan aktiviti perniagaan di lampu isyarat seluruh Johor.

“Mengikut peruntukan undang-undang, bukan sahaja penjual boleh dikenakan tindakan tetapi juga pembeli yang mana mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000,” jelasnya menurut laporan media tempatan.

Rata-rata kawasan lampu isyarat utama yang mempunyai jumlah trafik tinggi menjadi tumpuan peniaga ini.

Pada masa sama, Datuk Ayob Khan turut meminta peniaga untuk cari kaedah lain yang lebih sesuai dan selamat. – KOSMO

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply