Geng Azahar Tumpas, Aktif Curi EX5, 135LC Jual Ke Warga Asing

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 14 lelaki yang dipercayai ahli geng “Azahar” yang bergiat aktif dalam mencuri motosikal sekitar Lembah Klang.

Kesemua suspek berusia lingkungan 16 hingga 41 tahun.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Shafa’aton Abu Bakar yang turut mendedahkan seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai pembeli turut ditahan.

Dalam serbuan berasingan yang berlaku di antara 1 hingga 18 Februari lalu, polis turut menemukan lima buah motosikal jenis Honda EX5 dan Yamaha 135LC serta lima rangka motosikal dengan rampasan dianggarkan mencecah RM30,000.

Menurut Shafa’aton, geng “Azahar” ini menyasarkan motosikal Yamaha, Honda dan Modenas untuk dijual ke warga asing dengan harga serendah RM500 hingga RM1,000.

Penangkapan kesemua ahli menyaksikan PDRM menyelesaikan 12 kes kecurian kenderaan di sekitar Sungai Buloh, Shah Alam, Subang Jaya, Dang Wangi dan Cheras. – BERNAMA