Ducati Multistrada V4 Hampiri Pelancaran Di Malaysia?

Ducati telah memperkenalkan Multistrada V4 secara rasmi menerusi Ducati World Premier 2021 yang disiarkan secara atas talian pada November, tahun lalu.

Bagaimanapun, setakat ini motosikal segmen ‘adventure’ dari Itali itu masih belum dirasmikan di Malaysia.

Namun, kami difahamkan bahawa model serba baharu itu akan diperkenalkan pada awal suku kedua tahun ini oleh pihak Next Bike Sdn Bhd selaku pengedar jenama Ducati di Malaysia.

Ducati Multistrada V4 ini didatangkan dengan enjin serba baharu, dinamakan Granturismo V4 yang bersesaran 1,158cc yang menawarkan 170hp pada 10,500rpm dan 125Nm pada 8,750rpm.

Unit ini tidak lagi mengguna pakai injap Desmodromic seperti jentera Ducati lain sebaliknya menerapkan injap spring (valve spring) sekaligus meletakkan ‘major service interval’ berada pada 60,000km berbanding 30,000km sebelum ini.

Ducati menawarkan tiga varian Mulitstrada ini untuk pasaran dunia, V4 (standard) lengkap dengan warna Ducati red dan rim serba hitam, V4 S hadir dengan pilihan warna Aviator Grey serta fungsi quickshifter (up/down) manakala V4 S Sport ditawarkan dengan livery Sport serta ekzos Akrapovic (jenis gentian karbon) dan fender depan gentian karbon.

Namun tidak dipastikan varian mana yang akan diperkenalkan untuk pasaran tempatan.

Antara ciri paling mencuri tumpuan pada model baharu ini adalah penggunaan sistem radar dari Bosch (depan dan belakang) yang menawarkan fungsi ‘adaptive cruise control’ serta blind spot detection yang sebelum ini hanya terdapat pada kenderaan empat roda.

Nantikan perkembangan terkini mengenai motosikal ‘adventure’ dari Ducati ini hanya di MotoMalaya.Net!